DBKU Raih Pengiktirafan Antarabangsa, Tiga Anugerah Inovasi Di MTE 2026
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) terus melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih pengiktirafan antarabangsa serta tiga anugerah inovasi sempena Malaysia Technology Expo (MTE) – Public Service Innovation Asia (PSIA) Awards 2026 yang berlangsung di World Trade Centre (WTC), di sini.
Dalam satu kenyataan media pada Sabtu, antara pencapaian utama ialah penerimaan Anugerah Khas Antarabangsa dari Republik Croatia menerusi projek Tree Care Management System (TCMS) oleh Kumpulan LOGOS dari Jabatan Perkhidmatan Pembangunan Lanskap.
"Inovasi tersebut dibangunkan bagi menangani isu pengurusan data secara manual, selain mempertingkat kecekapan melalui pemusatan dan penyeragaman data, di samping mempercepatkan aliran kerja operasi serta membolehkan pemantauan lebih sistematik dan berkesan," menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, DBKU turut meraih dua Anugerah Emas menerusi projek Tree Care Management System (TCMS) oleh Kumpulan LOGOS serta Inteli-TL (Camera Traffic Light AI) oleh Kumpulan INS AI dari Jabatan Perkhidmatan Infrastruktur.
Projek Inteli-TL dilihat sebagai antara pelaksanaan terawal di Malaysia yang mengintegrasikan teknologi kamera berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dalam sistem lampu isyarat pintar, sekali gus meningkatkan ketepatan pengesanan trafik secara masa nyata.
"Pendekatan itu membolehkan kawalan lampu isyarat dioptimumkan secara dinamik berdasarkan situasi trafik semasa, sekali gus berpotensi mengurangkan kesesakan, meningkatkan kelancaran pergerakan kenderaan serta menyokong pembangunan bandar pintar dan rendah karbon," menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, DBKU turut menerima Anugerah Gangsa menerusi projek FileTracker (Digital Property Holding File Tracking System) oleh Kumpulan MIND MASTER dari Jabatan Perkhidmatan Kewangan.
Inovasi berasaskan web itu diperkenalkan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan fail pegangan secara digital, sekali gus mengurangkan risiko kesilapan serta mempercepatkan urusan peminjaman dan pemulangan fail.
Malam bersejarah itu turut dihadiri Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara, Dato Haji Hilmy Othman, Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah serta barisan pengurusan kanan sepanjang program berlangsung.
DBKU akan terus komited dalam memperkasa budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan warganya bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan dan berkualiti tinggi kepada masyarakat. -EDISI UKAS