Kerjasama PIBG Jadi Pemangkin Kecemerlangan Holistik Murid Di Bintulu
BINTULU: Kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah melalui platform Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terus menjadi pemangkin utama dalam melahirkan murid yang cemerlang secara holistik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming menegaskan, hubungan kukuh antara ibu bapa dan guru merupakan asas penting dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja berjaya dalam akademik, malah memiliki sahsiah, disiplin dan nilai kepimpinan tinggi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG 2026 di Sekolah Kebangsaan Asyakirin pada Sabtu.
Menurut beliau, PIBG berperanan sebagai jambatan strategik yang menghubungkan institusi keluarga dan sekolah, sekali gus memudahkan usaha merangka pendekatan terbaik demi masa depan pelajar.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada warga pendidik atas komitmen berterusan dalam mendidik serta membentuk sahsiah murid.
Sebagai wakil rakyat, beliau menzahirkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kemudahan pendidikan melalui pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Jelasnya, sebanyak RM200,000 telah disalurkan pada tahun 2023 bagi kerja baik pulih dewan utama sekolah, diikuti RM200,000 lagi pada tahun 2025 untuk menaik taraf kemudahan fizikal.
Antara kerja yang dilaksanakan termasuk pembinaan pentas konkrit, kerja mengecat semula dewan, menaik taraf tingkap gelangsar, membaiki pintu masuk serta penambahbaikan sistem penghawa dingin.
Selain itu, permohonan pembinaan surau baharu bernilai RM1.5 juta turut dikemukakan pada tahun 2024 hasil kerjasama pelbagai pihak.
Beliau turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi membantu kerja pemulihan sekolah selepas kejadian banjir.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan ibu bapa memainkan peranan kritikal dalam membimbing anak-anak menghadapi cabaran dunia moden yang dipengaruhi teknologi dan media sosial.
Sehubungan itu, beliau berharap PIBG terus berfungsi sebagai platform efektif untuk memperkukuh kerjasama serta merangka inisiatif yang mampu meningkatkan kecemerlangan sekolah secara menyeluruh.-EDISI UKAS