MIRI: Kejayaan kempen kutipan derma bagi membiayai pembedahan implan koklea dua kanak-kanak di Miri yang melepasi sasaran mencerminkan tahap solidariti dan keprihatinan tinggi masyarakat setempat terhadap golongan memerlukan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kempen tersebut berjaya mengumpul RM232,079.51 dalam tempoh hanya 19 hari, mengatasi sasaran asal RM200,000.
Menurut beliau, jumlah itu turut disokong sumbangan tambahan sebanyak RM50,000 daripada Persatuan Koklea Implan Miri, sekali gus mengukuhkan usaha pembiayaan rawatan kedua-dua kanak-kanak berkenaan.
Kempen tersebut dilaksanakan bagi membantu Flora Lee Kai Shuan, 5 tahun dan Andy Harrison, 3 tahun, yang memerlukan pembedahan implan koklea bagi memulihkan deria pendengaran mereka.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Lions Club of Miri Mandarin di Pusat Khidmat ADUN Piasau.
Tambah beliau, lebihan dana yang diperoleh akan dimanfaatkan bagi menampung keperluan rawatan susulan kedua-dua kanak-kanak tersebut.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang termasuk orang awam, pertubuhan dan pihak media yang bersama-sama menjayakan kempen tersebut.
Pembedahan implan koklea dijangka dilaksanakan pada penghujung April ini di Hospital Miri.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan ini mencerminkan kekuatan semangat kebersamaan masyarakat yang bukan sahaja prihatin, malah pantas bertindak dalam membantu mereka yang memerlukan.
Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk menghentikan sumbangan kepada kempen berkenaan berikutan sasaran kutipan telah pun dicapai sepenuhnya.-EDISI UKAS