JTS Harumkan Nama Sarawak, Raih Emas dan Perak di MTE 2026
KUALA LUMPUR: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) terus mengharumkan nama negeri apabila meraih satu pingat emas dan satu pingat perak pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam landskap inovasi sektor awam global.
Menurut kenyataan JTS pada Sabtu, kejayaan itu dicapai menerusi penyertaan dalam kategori International Innovation Award (IIM) pada ekspo berprestij yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur dari 9 hingga 11 April.
Pingat emas diraih melalui inovasi COMMANDS (Comprehensive Monitoring and Managing Dashboard for Survey) yang dibangunkan oleh Kumpulan Sassoku Tech dari JTS Kuching iaitu sistem bersepadu itu dilihat mampu memperkasa pemantauan serta pengurusan kerja pengukuran berasaskan data secara menyeluruh.
Sementara itu, inovasi Poletervation oleh Kumpulan Bistari Tech dari JTS Samarahan berjaya merangkul pingat perak, selain turut menerima pengiktirafan The Best Award: Category Machinery, Equipment and Tools and Manufacturing Process.
Kecemerlangan Poletervation turut terserlah apabila inovasi tersebut sekali lagi meraih Anugerah Emas di bawah kategori Public Service Innovation Asia (PSIA), selain menerima pengiktirafan khas daripada International Alliance of Innovation and Invention Association.
Dalam kategori sama, COMMANDS turut mencatat pencapaian membanggakan apabila dianugerahkan perak serta menerima pengiktirafan khas daripada Chinese Innovation and Invention Society.
Dari sudut impak, COMMANDS berperanan sebagai pemangkin kepada pengurusan kerja pengukuran yang lebih strategik, manakala Poletervation menawarkan pendekatan lebih sistematik dan efisien dalam operasi lapangan, sekali gus meningkatkan produktiviti serta ketepatan pengukuran tanah.
Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan warga jabatan dalam membudayakan inovasi sebagai teras kecemerlangan organisasi.
“Kejayaan di peringkat antarabangsa ini bukan sahaja mengharumkan nama Sarawak, malah mencerminkan kesiapsiagaan jabatan dalam mendepani transformasi digital selaras dengan aspirasi PCDS 2030,” katanya.
Edisi ke-25 MTE itu menghimpunkan penyertaan dari lebih 30 negara merangkumi sektor kerajaan, akademik dan industri, sekali gus menjadikannya antara platform inovasi paling kompetitif di rantau ini.
Penyertaan dan kejayaan JTS di pentas MTE 2026 ini memperlihatkan keupayaan agensi awam negeri untuk bersaing secara global, di samping memperkukuh peranan inovasi sebagai pemacu utama kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berimpak tinggi dan berorientasikan rakyat.-EDISI UKAS