Wanita Digalak Tampil Buat Saringan Awal, Lindungi Diri Daripada Kanser Serviks
KUCHING: Golongan wanita diseru agar tampil menjalani saringan awal sebagai langkah proaktif dalam melindungi diri daripada risiko kanser serviks yang boleh dirawat jika dikesan lebih awal.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, masih terdapat dalam kalangan wanita yang berasa takut atau malu untuk menjalani pemeriksaan, sedangkan saringan awal mampu menyelamatkan nyawa.
“Saya tahu ramai yang risau dan takut. Tapi hakikatnya —kanser serviks boleh dirawat, kalau kita kesan awal. Jangan takut. Jangan tunggu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Outreach Wcare: Pemerkasaan Komuniti Etnik yang diadakan di Perkarangan Surau Darul Salihin, Kampung Pasir Panjang, di sini, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Santubong itu menambah, kerajaan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyediakan kemudahan saringan ujian HPV DNA secara percuma bagi wanita berumur antara 30 hingga 65 tahun.
Menurutnya, pendekatan saringan kendiri turut diperkenalkan bagi memudahkan wanita menjalani pemeriksaan dengan lebih selesa tanpa perlu berasa segan.
Dalam pada itu, Dato Sri Nancy berkata, pendekatan komuniti melalui pelantikan Duta Etnik membantu meningkatkan keyakinan wanita untuk tampil membuat saringan kerana maklumat disampaikan oleh individu yang dikenali.
Tambahnya, usaha memperluaskan program outreach ke pelbagai kawasan akan terus dipergiat bagi memastikan tiada wanita yang tercicir daripada mendapatkan akses saringan kesihatan.
Menjelas lanjut, beliau mendedahkan, sejak 2019 hingga 31 Mac 2026, sejumlah 55,266 wanita di Sarawak telah tampil menjalani saringan ujian HPV DNA melalui LPPKN.
Daripada jumlah itu, ujarnya, 4,710 kes dikesan positif HPV, 92 kes pra-kanser dan 10 kes kanser serviks, sekali gus membolehkan rawatan awal dilaksanakan.-EDISI UKAS