Atlet BKTC disasar cemerlang di kejohanan taekwondo Sarawak
SIBU: Seramai 40 atlet Kelab Taekwondo Bumi Kenyalang (BKTC) disasar mencatat pencapaian cemerlang pada Kejohanan Taekwondo Kyorugi dan Poomsae Sarawak yang dijadual berlangsung di Bintulu pada 17 hingga 18 April ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, keyakinan itu bersandarkan rekod prestasi BKTC yang konsisten melahirkan atlet berkualiti serta berupaya menyumbang pingat dalam pelbagai kejohanan.
Menurut beliau, reputasi tersebut meletakkan harapan tinggi terhadap kontinjen BKTC untuk sekali lagi mengharumkan nama Sarawak dalam kejohanan berkenaan.
“Kita amat teruja kerana BKTC sentiasa melahirkan atlet cemerlang dalam sukan taekwondo.
“Justeru, kita yakin mereka mampu memberikan saingan sengit serta membawa pulang keputusan membanggakan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bendera kepada pasukan BKTC di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiong Hin, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai platform penting bagi mengenal pasti atlet berpotensi untuk mewakili Sarawak ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.
Sehubungan itu, beliau menggesa para atlet agar memanfaatkan peluang tersebut dengan mempamerkan prestasi terbaik, di samping mengekalkan disiplin, fokus dan semangat juang sepanjang kejohanan berlangsung.
“Kepada semua atlet, jangan meragui potensi diri dan kemampuan anak Sarawak.
“Teruskan berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan serta mengharumkan nama negeri,” ujarnya.
Hadir sama Penasihat BKTC merangkap Grandmaster Antarabangsa, Dato Sri Lau Kueng Chai serta Kaunselor Datuk Teo Boon Siew.- EDISI UKAS