Sarawak Komited Pastikan Pembangunan Ekonomi Dilaksana Tanpa Jejas Kelestarian Alam Sekitar
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited memastikan pembangunan ekonomi dilaksanakan secara seimbang tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar, selaras dengan agenda pembangunan hijau dan ekonomi rendah karbon negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, antara beberapa pendekatan utama dilaksanakan termasuk memperkukuh penguatkuasaan melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), memperkasakan penglibatan komuniti melalui pelantikan Renjer Komuniti serta meningkatkan kesedaran awam menerusi program “1000 Site Visit to Save Wildlife”.
Selain itu, usaha turut melibatkan pengukuhan pengurusan kawasan perlindungan seperti taman negara dan pusat hidupan liar, pelaksanaan program rehabilitasi spesies, serta penggunaan teknologi dan pendekatan inovatif dalam pemantauan biodiversiti.
“Inisiatif seperti ini membuktikan kesungguhan kita dalam membanteras aktiviti pemburuan haram, melindungi spesies terancam dan memastikan khazanah alam Sarawak terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Renjer Komuniti, Flag-Off Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) serta Pelancaran program “1000 Site Visit to Save Wildlife” Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Semeba pada Sabtu.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) atas sokongan serta kerjasama erat dalam menjayakan agenda pemeliharaan khazanah alam negara.
Ujarnya, kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan mencerminkan kesepaduan dalam melindungi biodiversiti secara menyeluruh dan mampan.
“Sarawak amat bertuah kerana dikurniakan kekayaan biodiversiti yang luar biasa.
"Hutan hujan tropika kita bukan sahaja menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna, malah merupakan warisan semula jadi yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang,” jelas beliau.
Hadir sama, Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam Dato Seri Arthur Joseph Kurup, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin, Timbalan Pengurus Besar (Konservasi) / Timbalan Controller Hidupan Liar, Sarawak Forestry Corporation Madhan Kiplie serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS