Kerajaan Sarawak Perhebat Usaha Bangunkan Kawasan Lingga
SIMANGGANG: Pelbagai projek pembangunan telah dilaksana dan dicadang oleh Kerajaan Sarawak bagi mewujudkan impak dan seterusnya mentransformasikan wajah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga.
Penasihat Pejabat Premier Sarawak, Datu Amar Jaul Samion berkata, antara projek pembangunan terbabit adalah pembinaan Jambatan Lingga, Jambatan Batang Lupar I dan Jambatan Batang Lupar II.
"Kerajaan juga turut melaksana projek perhubungan yang dapat memberi impak terhadap pembangunan Lingga seperti perlaksanaan projek Jalan Banting-Gunung Lesong-Engkeraji, Jalan Lingga-Sebuyau serta Jalan Pantu-Lingga dan sekaligus meningkatkan nilai tanah penduduk.
"Malah, tindakan kerajaan dalam menubuhkan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak Sri Aman atau Sarawak Skills Sri Aman juga turut memberi impak pendidikan terhadap anak-anak muda dari kawasan Lingga," katanya.
Datu Amar Jaul berkata demikian melalui ucaptamanya pada Forum Ekonomi DUN Lingga anjuran Persatuan Anak Perantau Simanggang dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman pada Sabtu.
Selain itu katanya, kerajaan juga turut melaksana projek yang boleh memperingkatkan taraf sosial dan ekonomi penduduk Lingga seperti Taman Rekreasi Benak Seduku, Projek Rumah Burung Walet, membina Dataran Kejat dan Taman Tebingan di Sungai Lingga.
Tambahnya, Projek Migitasi/Tebatan Banjir di penempatan utama sepanjang jalan pesisir Maludam-Triso dan bina baru sistem perparitan serta Dataran Kebudayan (dalam perlaksanaan) di Kampung Maludam juga bakal dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
"Terdapat juga projek berpotensi untuk dibangunkan di Daerah Lingga seperti cadangan pembinaan jalan pintasan Stirau-Bakong, Jalan Banting-Lingga, Jalan Sungai Pisang-Rabit, Pusat Pembangunan Desa Seduku dan Kompleks Sukan," katanya.
Justeru, Datu Amar Jaul berharap agar projek pembangunan ini dapat memberi impak ekonomi melalui kewujudan rangkaian jalan raya, meningkatkan nilai hartanah di kawasan setempat, menggalakkan sektor pelancong dan mewujudkan pasaran untuk produk pertanian, hutan serta perikanan di kawasan DUN Lingga.
Hadir sama ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan Pengerusi Anak Perantau Simanggang, Datu Kameri Affandi. -EDISI UKAS