Projek Jambatan Sibu-West Bank Kini Di Peringkat Akhir Pemilihan Model
SIBU: Projek pembinaan jambatan yang menghubungkan Sibu ke ‘West Bank’ kini berada di peringkat akhir pemilihan model reka bentuk sebelum keputusan muktamad dibuat oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak kini sedang meneliti dua hingga tiga cadangan reka bentuk, termasuk model yang menyerupai ‘London Bridge’.
Menurut beliau, projek berimpak tinggi itu dianggarkan menelan kos antara RM300,000 hingga RM500,000 dengan kelebaran sungai lebih kurang 400 meter dan telah mendapat persetujuan daripada Premier Sarawak untuk dilaksanakan.
“Kita sedang menunggu keputusan Premier Sarawak untuk menentukan jenis jambatan yang sesuai.
“Selepas itu, tender perunding akan dibuka dan saya jangkakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, jambatan itu akan wujud.
"Jika ada jambatan dari Sibu ke sini (West Bank), memang seluruh kawasan ini akan maju," katanya ketika merasmikan Program Gongxi Raya 2026 anjuran Komuniti Madani Datuk Robert Lau Hoi Chew di SMI Park, di sini pada Sabtu.
Datuk Amar Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memaklumkan bahawa projek berkenaan mendapat perhatian segera selepas dibangkitkan oleh Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie, di hadapan Premier Sarawak tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pembangunan infrastruktur seperti jambatan amat penting, apatah lagi Sarawak kini telah berjaya menyiapkan 20 jambatan menggunakan dana sendiri.
Beliau menjelaskan bahawa kos pembinaan ketika ini telah meningkat lebih 40 peratus, justeru keputusan untuk melaksanakan projek tersebut secara sendiri sebelum ini adalah tepat.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji keharmonian kaum di Sarawak yang terserlah melalui sistem pendidikan, termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang kini menempatkan kira-kira 25,000 pelajar Bumiputera daripada keseluruhan 60,000 pelajar.
Beliau turut memuji keharmonian kaum di Sarawak yang dapat dilihat melalui institusi pendidikan seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang kini turut menempatkan kira-kira 25,000 pelajar Bumiputera daripada keseluruhan 60,000 pelajar.
"Di Sarawak, bahasa Cina adalah untuk semua kaum. Apabila kita semua pandai berbahasa Cina, kita boleh maju bersama-sama," katanya sambil menambah bahawa semangat perpaduan 'Kongsi Raya' adalah kekuatan unik yang perlu dipertahankan.
Antara yang turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Chieng Jin Ek, Ahli Dewan Negara merangkap Penasihat Kehormat Komuniti MADANI Datuk Robert Lau Hoi Chew, Senator Robert Lau Hui Yew serta Penasihat Utama Komuniti MADANI Datuk Robert Lau Hoi Chiew.-EDISI UKAS