Keharmonian Jadi Asas Kestabilan, Kemajuan Sarawak
SIBU: Pendekatan berteraskan keharmonian dan saling menghormati terus menjadi asas kukuh kepada kestabilan serta kemajuan Sarawak yang dinikmati hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, model perpaduan yang diamalkan di negeri ini merupakan satu kekuatan unik yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum ke arah pembangunan bersama.
Beliau berkata, di bawah kepimpinan kerajaan sedia ada, Sarawak terus bergerak secara objektif dengan mengekalkan semangat muafakat, selaras dengan falsafah ‘Keharmonian membawa kemakmuran’.
“Bagi saya, tidak mengapa untuk anda mementingkan kaum sendiri. Orang Cina perlu memperjuangkan hak mereka, begitu juga Iban dan Melayu. Itu perkara semula jadi.
“Namun, perbuatan rasis dilarang sama sekali. Terdapat batasan tertentu,” katanya ketika berucap pada Program Gongxi Raya 2026 yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, di Taman SMI pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu turut menzahirkan keunikan Sarawak yang mempunyai Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), yang terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan institusi keagamaan bukan Islam secara inklusif.
Mengulas lanjut, beliau berkata kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama Datuk Amar Dr Sim Kui Hian sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan, khususnya melalui pelaksanaan dasar pendidikan percuma di institusi milik kerajaan negeri.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya yang menyaksikan peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap beliau daripada sekitar 20 peratus kepada 95 peratus dalam tiga pilihan raya terakhir.
Menurutnya, perkara tersebut berlaku kerana beliau memahami keutamaan komuniti berkenaan yang lebih menitikberatkan aspek pendidikan anak-anak, kelangsungan perniagaan serta pembangunan kawasan.
Hadir sama semasa program tersebut ialah ADUN Bukit Assek Chieng Jin Ek, Ahli Dewan Negara merangkap Penasihat Kehormat Komuniti MADANI Datuk Robert Lau Hoi Chew, Senator Robert Lau Hui Yew serta Penasihat Utama Komuniti MADANI Datuk Robert Lau Hoi Chiew.-EDISI UKAS