Sarikei Motor Gathering 2026 Himpun Hampir 5,000 Peminat Permotoran
SARIKEI: Sarikei Motor Gathering (SMG) 2026 berjaya mencatatkan kehadiran hampir 5,000 peminat serta komuniti permotoran, khususnya golongan belia, yang diadakan di Tapak Uptown Kampung Seberang Sarikei selama dua hari bermula 11 hingga 12 April 2026.
Program anjuran Power Legacy Motorsport Club yang diketuai oleh Muhd Shahril Hashim dan Nur Hafiz Abdullah itu turut menarik penyertaan komuniti permotoran dari Sabah, Brunei, Indonesia serta kumpulan tempatan.
Ahli Parlimen Tanjong Manis Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, Sarikei Motor Gathering bukan sekadar perhimpunan peminat motosikal, malah menjadi platform penting dalam menyatukan komuniti, memupuk semangat persaudaraan serta mempromosikan aktiviti sihat dan positif dalam kalangan masyarakat.
Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran program seumpama itu dan tidak menolak kemungkinan Sarikei Motor Gathering akan diteruskan pada tahun hadapan.
“Berkemungkinan besar, pada tahun hadapan kita akan menyaksikan Sarikei Motor Gathering Vol. 2 dan sudah tentu kita semua mengharapkan agar dapat berjumpa kembali serta memeriahkan lagi acara ini pada masa akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati para peserta agar sentiasa berdisiplin di jalan raya dan menjadi contoh terbaik kepada masyarakat dalam membina komuniti permotoran yang positif dan bersatu.
Menurutnya, program tersebut turut memberi impak ekonomi kepada peniaga tempatan, khususnya di sekitar Tapak Uptown dan Taman Selera Baji Jaya, apabila kehadiran pengunjung meningkatkan aktiviti perniagaan sepanjang program berlangsung.
Dato Ir Yusuf juga menghargai penyertaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bersama menjayakan program tersebut yang membawa mesej penting berkaitan gaya hidup sihat, kesedaran bahaya dadah serta kepentingan penjagaan kesihatan.-EDISI UKAS