Alumni, Korporat Perlu Digembleng Perkasa Pendidikan
BINTULU: Penggemblengan alumni dan sektor korporat secara strategik perlu diperkasa bagi memperkukuh ekosistem pendidikan serta memastikan ia lebih relevan dengan keperluan semasa.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datuk Majang Renggi berkata, pendekatan konvensional tidak lagi mencukupi, sebaliknya memerlukan sinergi pelbagai pihak untuk meningkatkan kualiti pendidikan secara menyeluruh.
Menurut beliau, alumni berperanan sebagai mentor dan penyumbang kepakaran, manakala sektor korporat dapat membantu mempercepat penyediaan prasarana termasuk kemudahan digital dan capaian internet.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sesi 2026/2027 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asyakirin, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan pendidikan turut bergantung kepada peranan ibu bapa, selain kerjasama erat melalui platform PIBG bagi memastikan kebajikan dan pencapaian pelajar terus diperkasa.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak termasuk ibu bapa, alumni dan sektor korporat agar lebih proaktif menyokong agenda pendidikan negara.
Turut hadir Pengetua SMK Asyakirin Ralp Rampai Malong, Yang Dipertua PIBG John Mila Ansai serta wakil Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu. -EDISI UKAS