Komitmen Perumahan Rakyat Diperkukuh, HDC Sasar 2,500 Unit Menjelang 2030
KUCHING: Komitmen menyediakan perumahan berkualiti dan mampu milik kepada rakyat Sarawak terus menjadi keutamaan, dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda tersebut.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof Dr. Sim Kui Hian berkata, usaha berterusan itu meliputi pelbagai aspek khususnya dalam memastikan akses kepada kediaman yang selesa dan mampu dimiliki terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Ramah Tamah Raya HDC & Mutiara 2026 anjuran Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi (KKSR) di Wisma Sultan Tengah HDC, di sini pada Jumaat.
Tambahnya, penganjuran majlis tersebut bukan sekadar meraikan Aidilfitri, malah menjadi platform penting dalam mengukuhkan silaturahim serta memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga kerja dan rakan strategik.
Sehingga kini, HDC telah berjaya menyiapkan 14 projek melibatkan 924 unit kediaman, manakala menjelang 2030, sasaran ditingkatkan kepada 27 projek dengan anggaran 2,500 unit bakal dibangunkan.
Sementara itu, majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi HDC, Abdul Yakub Arbi yang merakamkan penghargaan terhadap komitmen tinggi warga kerja dalam menyokong aspirasi organisasi.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai juadah Aidilfitri yang mencerminkan kepelbagaian budaya, sekali gus mengeratkan interaksi dalam suasana santai dan penuh muhibah.
Sebagai acara kemuncak, cabutan bertuah diadakan bagi menambah seri majlis serta menghargai kehadiran para tetamu.
Penganjuran majlis seumpama ini diharap terus menjadi pemangkin dalam memperkukuh hubungan dalaman organisasi, seterusnya menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan kepada rakyat. -EDISI UKAS