Taman Industri Perabot Disasar Tarik Pelabur, Ubah Landskap Industri Tempatan
KUCHING: Pembangunan Taman Industri Perabot di Sarawak dilihat sebagai pemangkin utama untuk menarik pelaburan baharu sekali gus mengubah landskap industri perabot tempatan yang kini masih didominasi perusahaan berskala kecil.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penyediaan kawasan industri yang lengkap dan kondusif amat penting bagi memenuhi keperluan pelabur serta merangsang pertumbuhan sektor tersebut secara lebih tersusun.
“Sekarang ini industri perabot di Sarawak ini tidaklah begitu berkembang sangat dan selalunya dilaksanakan berdasarkan kepada perniagaan keluarga saja. Jadi, kita tidak mahu ia hanya begitu saja.
“Kita mempunyai banyak material kita, kita mempunyai semua sumber dan sebab itu kita nak bangunkan ‘Furniture Park’ ini supaya kita dapat menarik pelaburan meningkatkan industri ini.
“Sumber kita bukan sahaja daripada ‘natural forest’ tapi lebih kepada ‘planted forest’ dan inilah yang akan menyokong pembangunan industri kayu yang berasaskan kepada produk-produk yang mempunyai nilai yang tinggi, jadi kita ada keadaan yang begitu kondusif sekali untuk kita nak bangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PUSAKA 2026 di Wisma Sumber Alam di sini, pada Jumaat.
Datuk Amar Awang Tengah merangkap Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar II (MUDeNR) menambah, taman industri perabot yang dirancang itu akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula di Kuching sebelum diperluaskan ke Tanjung Manis bagi merangkumi kawasan tengah Sarawak.
Menurutnya, projek berkenaan telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dengan tapak pembangunan juga telah disediakan, dan kini menunggu peruntukan untuk pelaksanaan.
Dalam masa sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan itu juga menjelaskan Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber bahan mentah termasuk kayu daripada hutan tanaman yang mampu menyokong pertumbuhan industri secara mampan.
Selain itu, ujarnya, penggunaan bahan alternatif seperti buluh turut dilihat berpotensi besar untuk diperkembangkan dalam penghasilan produk perabot bernilai tinggi.
Terdahulu, Datuk Amar Awang Tengah telah menyempurnakan perasmian Lobi Menara Wisma Sumber Alam yang telah siap dinaiktaraf.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap MUDeNR Datu Abdullah Julaihi, Pengurus Besar PUSAKA Datu Zainal Abidin Abdullah, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie & Douglas Demong