Sarawak Hampiri Status Geopark Global, Kelulusan Rasmi UNESCO Dijangka 23 April
KUCHING: Sarawak kini selangkah lagi untuk meraih pengiktirafan antarabangsa apabila Sarawak Delta Geopark dijangka diluluskan secara rasmi sebagai Tapak Geopark Global oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 23 April ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, pihaknya telah menerima maklum balas awal secara lisan berhubung penerimaan pensijilan tersebut selepas mendapat persetujuan jawatankuasa penilaian geopark.
Beliau berkata, keputusan rasmi dijangka dimuktamadkan menerusi mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO di Paris pada 23 April ini.
“Mesyuarat tersebut akan membincangkan dan meluluskan Sarawak Delta Geopark sebagai salah satu daripada UNESCO Global Geopark sebelum sijil pengiktirafan diserahkan kepada wakil tetap Malaysia di Paris,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PUSAKA 2026 di Wisma Sumber Alam, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Datuk Len berkata, dengan pengiktirafan tersebut, Sarawak bakal menjadi geopark keempat di Malaysia yang diiktiraf UNESCO.
Dalam masa sama, beliau optimis status berprofil tinggi itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempromosikan Kuching dan Sarawak secara keseluruhan sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang unik.
Jelasnya, pembangunan geopark berkenaan memberi penekanan kepada konsep pembangunan mampan yang merangkumi elemen geologi, biodiversiti serta penglibatan komuniti setempat, di samping membuka peluang ekonomi dalam bidang gastronomi, makanan dan budaya.-EDISI UKAS