PPD Sri Aman Anjur Bicara Profesionalisme Guru Pendidikan Islam
SIMANGGANG: Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman telah menganjurkan Program Bicara Profesionalisme Guru Pendidikan Islam dan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Aing, Sri Aman, pada Khamis.
Program yang dianjurkan bersama Pertubuhan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah Malaysia (PEKDIS) Bahagian Sri Aman itu bertujuan menghimpunkan Guru Pendidikan Islam (GPI) dan Guru Bahasa Arab (GBA) daerah Sri Aman dalam suasana Aidilfitri yang penuh ukhwah, di samping memperkukuh profesionalisme keguruan serta hala tuju pendidikan Islam.
Penyelaras program yang juga Pengerusi PEKDIS Bahagian Sri Aman, Ustaz Ahmad Muzakkir Ahmad Lotfi berkata, penganjuran program tersebut menjadi platform untuk mempererat kerjasama dan komitmen dalam memartabatkan pendidikan Islam di peringkat daerah.
“Selain mengeratkan silaturahim, program ini diharap dapat membantu semua guru terus memperkukuh kerjasama dan komitmen dalam memartabatkan pendidikan Islam,” katanya dalam ucapan aluan.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin dalam ucaptamanya menekankan kepentingan murid memperkasa dan menguasai al-Quran sebagai asas pembentukan jati diri Muslim.
Beliau turut mengingatkan agar penghayatan solat sebagai tiang agama diberi perhatian serius oleh para guru, termasuk memastikan murid memahami rukun, bacaan serta hikmah di sebalik ibadah tersebut.
“Ingin saya tegaskan tentang peranan adab dan peribadi guru. Guru Pendidikan Islam perlulah menjadi qudwah hasanah dari segi akhlak, integriti dan kesungguhan dalam mendidik.
“Justeru, saya menyarankan para guru agar sentiasa melibatkan diri dengan masyarakat serta memperkukuh hubungan dengan ibu bapa dan komuniti dalam usaha membentuk generasi yang seimbang dunia dan akhirat,” ujarnya.
Program berkenaan turut dihadiri Ketua Unit Pendidikan Islam, PPD Sri Aman, Ustaz Syaifullah Ismail.
Pada majlis itu, sijil penghargaan turut disampaikan kepada semua sekolah menengah di daerah Sri Aman sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang dalam mata pelajaran Pendidikan Islam bagi tahun 2025.
Turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Video Raya dan Video Tazkirah Ramadan serta tayangan montaj aktiviti Guru Pendidikan Islam sepanjang tahun 2024 hingga 2026.-EDISI UKAS