Kemeriahan Santai Raya Kukuh Kerjasama Agensi di Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Program Santai Raya 2026 anjuran Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan bukan sekadar sambutan Aidilfitri, sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan di Bahagian Samarahan.
Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Ahmad Raslan Yaiyah berkata, penganjuran program tahunan itu berperanan menyatukan warga jabatan bersama rakan strategik dalam semangat satu pasukan, sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus cekap dan berkesan.
Menurutnya, kerjasama erat antara jabatan, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta agensi berkaitan perlu diperkasa, khususnya dalam mendepani cabaran semasa termasuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri dalam masa terdekat.
“Sebagai agensi pemudah cara, kita perlu sentiasa bersedia dan memainkan peranan secara bersepadu bagi memastikan setiap perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya ketika berucap pada program tersebut di Dewan Suarah Kota Samarahan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan program kali ini diadakan di luar pejabat berikutan kerja naik taraf utama yang sedang dilaksanakan sejak November 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2026.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Landas Samarahan yang diterajui Senior Land Officer, Nurezuan Omar Ali atas komitmen dalam menjayakan program berkenaan.
Majlis itu turut diserikan dengan penyertaan lapan reruai daripada pelbagai seksyen yang menyediakan juadah tradisional dan moden Hari Raya, sekali gus menghidupkan suasana kemeriahan Aidilfitri.
Antara yang hadir ialah Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Pegawai Tadbir Khas IRSDA, Anuar Da’an serta wakil pelbagai agensi kerajaan lain.-EDISI UKAS