LAWAS: Peranan strategik wanita dalam memacu pembangunan negeri terus diperkasa apabila Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) digesa memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi merebut peluang dalam sektor baharu yang semakin berkembang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama erat antara pertubuhan wanita, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan lain penting dalam memastikan lebih banyak inisiatif dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.
Menurut beliau, wanita hari ini telah membuktikan keupayaan mereka dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan sosial, sekali gus memainkan peranan signifikan dalam pembangunan negeri.
“Pertubuhan seperti PPWS perlu terus bekerjasama dengan pertubuhan lain dan juga agensi kerajaan kerana masih banyak perkara yang boleh dilaksanakan secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ambang Hari PPWS ke-64 serta Jalinan Mesra Aidilfitri PPWS Daerah Lawas yang berlangsung di Stadium Tertutup Lawas, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Sarawak kini berada dalam fasa pembangunan baharu yang melibatkan sektor industri berteknologi tinggi serta ekonomi moden, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada rakyat, khususnya golongan wanita.
“Kita harus menumpukan kepada pendidikan dan kemahiran. Jika dilihat di institusi pengajian tinggi, majoriti pelajar adalah wanita dan ini menunjukkan potensi besar yang perlu dimanfaatkan,” ujarnya.
Tambah beliau, wanita mempunyai keupayaan dan kecekapan untuk mencapai kejayaan sekiranya peluang yang tersedia dimanfaatkan sepenuhnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata perpaduan dalam kalangan masyarakat menjadi asas utama kepada kestabilan Sarawak yang kini bukan sahaja berkembang di peringkat nasional, malah semakin dikenali di peringkat antarabangsa.
“Saya yakin wanita mampu untuk terus berjaya dalam pelbagai bidang, asalkan kita mempunyai semangat untuk maju bersama dan memanfaatkan peluang yang ada,” katanya lagi.
Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Pengerusi Negeri PPWS, Dato Norhayati Ismail, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok serta Pengerusi PPWS Daerah Lawas, Suriyah Jinin.-EDISI UKAS