Usahawan Bumiputera Digalak Perkukuh Daya Saing Melalui Jaringan Strategik
BINTULU: Usahawan Bumiputera digesa memperkukuh daya saing dengan memanfaatkan jaringan strategik serta sokongan kerajaan bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa yang semakin dinamik.
Penekanan itu penting bagi memastikan perniagaan tempatan terus relevan di samping mampu menembusi pasaran lebih luas termasuk ke peringkat global.
Penasihat Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sarawak, Dato Sri Mohd Naroden Majais berkata, peranan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) amat signifikan dalam membangunkan kapasiti usahawan tempatan.
“DUBS bukan sekadar sebuah organisasi, tetapi merupakan platform pembangunan usahawan yang menyeluruh serta penghubung strategik antara usahawan, agensi kerajaan dan sektor swasta.
“Ia juga berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Makan Malam Amal DUBS Cawangan Bintulu, pada Sabtu.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) bersama kementerian serta agensi berkaitan termasuk di peringkat Persekutuan akan terus menggubal dasar dan membawa agenda keusahawanan Bumiputera agar kekal relevan serta berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usahawan perlu memiliki semangat juang, daya tahan dan keberanian untuk meneroka peluang baharu dalam landskap ekonomi semasa.
Tambahnya, sokongan berterusan melalui dasar kerajaan serta pelbagai program pembangunan akan membantu usahawan meningkatkan kapasiti selain memperkukuh penjenamaan produk tempatan.
Majlis tersebut turut menjadi wadah menghimpunkan komuniti perniagaan tempatan bagi memperkukuh kerjasama strategik serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Turut hadir, Pengerusi DUBS Cawangan Bintulu, Udie Entigar serta Pengerusi Pengelola Majlis merangkap Ketua Dewanita DUBS Cawangan Bintulu, Helen Anbi.-EDISI UKAS