ADUN Pantai Damai Santuni Penduduk Telaga Air Pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri
KUCHING: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon Telaga Air yang berlangsung di Kampung Telaga Air disambut meriah dengan kehadiran penduduk setempat serta barisan kepimpinan masyarakat, sekali gus memperkukuh hubungan antara pemimpin dan komuniti.
Majlis anjuran Pusat Khidmat N4 Pantai Damai itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi bersama isteri.
Ketibaan beliau disambut mesra oleh ketua masyarakat dan penduduk kampung yang hadir, mencerminkan hubungan erat serta sokongan berterusan rakyat terhadap kepimpinan di kawasan berkenaan.
Majlis tersebut menjadi platform penting dalam mengeratkan silaturahim selain menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana harmoni dan penuh kebersamaan.
Pelbagai juadah Aidilfitri disediakan kepada tetamu yang hadir, di samping aktiviti santai yang memberi peluang kepada penduduk berinteraksi secara lebih dekat dengan pemimpin kawasan.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Cawangan PBB N4 Pantai Damai, Merdihi Mas, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan N4 Pantai Damai, Rosmah Zaini, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan N4 Pantai Damai, Abdul Adzim, Ketua Sayap Belia 1828 PBB Cawangan N4 Pantai Damai, Nurashniza Ashwin serta Pengerusi Pengelola, Cr Sebeki Jen.
Penganjuran majlis seumpama ini dilihat terus memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan masyarakat serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk Zon Telaga Air.-EDISI UKAS