Penguatkuasaan Borang K1 Bermula 1 Mei Perketat Perdagangan Sempadan Malaysia–Indonesia
TEBEDU: Penguatkuasaan penggunaan Borang K1 bagi deklarasi produk yang akan bermula 1 Mei 2026 dijangka memperketat kawalan dan memperkemas aktiviti perdagangan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
Perkara itu dimaklumkan dalam sesi taklimat perdagangan dua hala Malaysia–Indonesia yang diadakan di sini, pada Khamis.
Sesi yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar itu menghimpunkan pelbagai agensi penguatkuasaan dari Malaysia dan Entikong, Indonesia dengan penekanan terhadap pematuhan prosedur import dan eksport, khususnya melibatkan produk pertanian seperti daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Mulai tarikh tersebut, semua aktiviti perdagangan melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) diwajibkan menggunakan Borang K1 tanpa pengecualian. Sehubungan itu, pengusaha disaran melantik ejen di ICQS Entikong bagi melancarkan urusan dokumentasi rentas sempadan.
Notis berkaitan pelaksanaan prosedur baharu ini akan dipamerkan di ICQS Tebedu serta kawasan Kalimantan Barat (Kalbar), Indonesia bagi memastikan maklumat tersebut sampai kepada semua pihak berkepentingan.
Dalam pada itu, aspek keselamatan makanan turut diberi perhatian. Wakil Pejabat Kesihatan Bahagian Serian, Ambrose Jude Jimbau menegaskan bahawa setiap kemasukan produk makanan perlu mematuhi standard kesihatan yang ditetapkan, dan mana-mana produk yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akan ditolak serta-merta di pintu masuk sempadan.
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia menjelaskan bahawa konsainan pertanian berskala besar perlu melalui sistem e-permit, manakala kuantiti kecil masih boleh diuruskan secara manual di kaunter pemeriksaan.
Taklimat tersebut turut menjelaskan perbezaan antara aktiviti BCA (Border Crossing Activities) yang melibatkan pergerakan dalam radius kurang lima kilometer, dan BTA (Border Trade Activities) yang merujuk kepada perdagangan rentas sempadan secara rasmi.-EDISI UKAS