Dewan Baharu dan Lampu Jalan Perkasa Pembangunan Kampung Hijrah Fasa II
SIMUNJAN: Pembangunan infrastruktur serta kesejahteraan penduduk di Kampung Hijrah Fasa II terus diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat, yang dizahirkan menerusi perancangan pembinaan sebuah dewan baharu serta pelaksanaan projek pemasangan lampu jalan di beberapa fasa sekitar kampung berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat termasuk menyediakan kemudahan dewan bagi menampung pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Menurut beliau, projek pembinaan dewan tersebut sebelum ini mengalami sedikit kelewatan susulan isu teknikal melibatkan kerja penembokan tanah serta mengambil kira faktor risiko banjir di kawasan berkenaan.
“Proses cabut undi bagi kerja penembokan telah dilaksanakan. Setelah tanah ditinggikan, barulah bangunan dewan akan didirikan dan dijangka siap serta dapat digunakan sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Kampung Hijrah Fasa II Bersama Pemimpin yang diadakan di Perkarangan Rumah KK Ara, pada Khamis dengan kehadiran kira-kira 150 penduduk.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan projek pemasangan lampu jalan akan terus diperluaskan meliputi Fasa 1, 2 dan 3 serta kawasan sekitar termasuk laluan ke jalan utama di Kampung Sageng bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih terang dan selamat.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Kaum Kampung Hijrah Fasa II atas komitmen menganjurkan majlis ramah mesra tersebut selama sembilan tahun berturut-turut, sekali gus menyifatkan kepimpinan kampung berkenaan sebagai proaktif dalam mempereratkan hubungan silaturahim penduduk.
“Saya menyeru agar penduduk terus memberikan sokongan kepada ketua kaum dalam setiap usaha yang dilakukan kerana kejayaan sesuatu program bergantung kepada kerjasama semua pihak,” tambah beliau.
Majlis anjuran JKKK Kampung Hijrah Fasa II itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk penyampaian hadiah pertandingan bertuntong, busana sedondon, pakaian tercantik serta pertandingan karaoke, selain persembahan tarian dan nyanyian oleh warga kampung.
Turut hadir ialah isteri Awla, Napsiah Abang Kaderi, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, wakil Ketua Polis Daerah Simunjan, Sarjan Mejar Abdullah Awang, Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan Bojeng Ali, Penghulu Ahmad Dol Simpol, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Simunjan Kr. Mohammad Zaini Morshidi serta Ketua Kaum Kampung Hijrah Fasa II Ara @ Khartina Amat.-EDISI UKAS