Sinergi Menyeluruh Perkasa OKU, Pacu Ekosistem Inklusif di Sarawak
MIRI: Pendekatan kolaboratif melibatkan pelbagai pihak terus menjadi pemacu utama dalam memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) secara lebih inklusif, tersusun dan berimpak di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, usaha memperkasa OKU perlu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan kerajaan, agensi, institusi pendidikan dan masyarakat.
Menurut beliau, peningkatan jumlah pendaftaran OKU daripada 302,802 pada 2015 kepada 814,966 pada 2025 mencerminkan keperluan mendesak untuk sistem sokongan yang lebih komprehensif dan responsif.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam sempena Sambutan Hari OKU 2026 (SHOKU2026) Peringkat Zon Utara Sarawak anjuran Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Morsjaya, pada Sabtu.
Tambahnya, pendekatan “one-size-fits-all” tidak lagi relevan memandangkan setiap individu OKU mempunyai keperluan dan potensi berbeza, sekali gus memerlukan perancangan lebih spesifik dan berfokus.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan pendidikan awal serta akses kepada pusat pendidikan khas yang inklusif sebagai asas pembangunan potensi golongan berkenaan.
Dalam pada itu, institusi pendidikan dan latihan digesa lebih proaktif menyediakan program kemahiran relevan bagi meningkatkan kebolehpasaran OKU, termasuk inisiatif seperti Program Latihan Kemahiran Inklusif di IKBN Miri.
Beliau turut menegaskan peranan lebih 2,000 kakitangan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu terus diperkasa sebagai barisan hadapan dalam penyampaian perkhidmatan kepada komuniti OKU.
Menurutnya, penganjuran SHOKU2026 yang melibatkan enam PPDK di Zon Utara mencerminkan komitmen berterusan dalam memperluas kesedaran, penerimaan dan penyertaan aktif masyarakat.
Beliau seterusnya merasmikan sambutan tersebut dalam suasana penuh sokongan dan semangat kebersamaan, sekali gus menyeru semua pihak terus berganding bahu membina ekosistem sosial yang inklusif dan penyayang. -EDISI UKAS