BEKENU: Penganjuran Majlis Jom Berjarah Hari Raya Aidilfitri Peringkat Daerah Subis menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan komuniti sebagai asas kestabilan dan kemakmuran negeri.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus berkata, perpaduan masyarakat berbilang kaum merupakan kekuatan utama Sarawak dalam mendepani cabaran global termasuk ketidaktentuan ekonomi.
Menurut beliau, program komuniti bukan sekadar sambutan perayaan, malah berperanan sebagai mekanisme menyatukan rakyat serta memperkukuh keharmonian sosial di peringkat akar umbi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis anjuran Jawatankuasa Pemuafakatan Rukun Tetangga Daerah Subis di Dewan Masyarakat Bekenu, pada Ahad.
Tambahnya, kepelbagaian kaum dan agama di Sarawak bukan penghalang, sebaliknya kekuatan strategik yang perlu terus dipelihara.
Dalam pada itu, beliau menekankan amalan saling menghormati serta tradisi kunjung-mengunjungi sebagai elemen penting dalam mengekalkan keharmonian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin masyarakat dan ahli Rukun Tetangga yang menjadi barisan hadapan dalam memelihara perpaduan komuniti.
Majlis yang dihadiri kira-kira 250 penduduk itu berlangsung dalam suasana harmoni dan muhibah, mencerminkan perpaduan kukuh sebagai tunjang kesejahteraan masyarakat di Subis. -EDISI UKAS