RM50,000 Diperuntukkan Bagi Naik Taraf Stor Kampung Rangkang
SADONG JAYA: Kerajaan Sarawak telah meluluskan dana berjumlah RM50,000 di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk menaik taraf stor di Kampung Rangkang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, projek tersebut dijadualkan dilaksanakan tahun ini bagi menyediakan kemudahan penyimpanan yang lebih tersusun dan berkualiti, sekali gus menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kampung berkenaan.
Menurut beliau, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan setiap keperluan asas komuniti luar bandar terus diberi perhatian, selaras dengan agenda pembangunan mampan.
“Setiap kampung di bawah kawasan ini akan terus diberi perhatian sewajarnya agar pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri peringkat Kampung Rangkang yang berlangsung di Dewan Serbaguna kampung tersebut, pada Ahad.
Menyentuh mengenai penganjuran program, beliau menyifatkan majlis seumpama itu sebagai platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
“Program seperti ini memberi ruang kepada penduduk untuk berkumpul dan beramah mesra, lebih-lebih lagi dalam kekangan masa untuk berkunjung dari rumah ke rumah,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk Kampung Rangkang atas sokongan padu yang diberikan, selain menyifatkan kampung tersebut sebagai kampungnya sendiri.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya Abdullah Sam Yusup, Pemanca Daerah Asajaya Saleh Kemis, Penghulu Kawasan Sadong Jaya Ramani Tobek, Ketua Kaum Kampung Rangkang Sharkawi Razali serta Ketua Zon 4 Rangawan Rafendy Ariffen. -EDISI UKAS