SADONG JAYA: Penduduk Kampung Rangkang bakal menikmati kemudahan sukan yang lebih selesa dan berkualiti apabila peruntukan sebanyak RM200,000 diluluskan bagi projek menaik taraf padang futsal di kampung berkenaan di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) 2026.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, pelaksanaan projek tersebut adalah sebahagian usaha memperkasa kemudahan sukan di peringkat akar umbi, khususnya bagi memenuhi keperluan belia dan komuniti setempat.
Menurut beliau, pasukan teknikal kerajaan persekutuan akan menjalankan pemeriksaan tapak bagi menentukan skop kerja berdasarkan struktur sedia ada, sekali gus memastikan projek dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat maksimum kepada penduduk.
“Saya mengharapkan kerjasama ketua kampung dan penduduk agar setiap projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar demi manfaat bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Rangkang di dewan serbaguna kampung itu, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur sukan bukan sahaja menyediakan kemudahan riadah, malah menjadi platform penting dalam membentuk gaya hidup sihat serta memupuk perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Selain itu, beliau turut menyentuh perkembangan transformasi pembangunan kawasan Samarahan yang kini pesat berkembang ke arah Asajaya dan Sadong Jaya, termasuk pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar.
Katanya, pembinaan Jambatan Batang Sadong kedua serta rangkaian jalan baharu dijangka memendekkan masa perjalanan ke Samarahan kepada hanya sekitar 20 minit dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat.
Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk agar mempertimbangkan dengan teliti sebarang urusan melibatkan aset dan tanah supaya tidak terlepas peluang menikmati limpahan pembangunan pada masa hadapan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya Abdullah Sam Yusup, Pemanca Daerah Asajaya Saleh Kemis, Penghulu Kawasan Sadong Jaya Ramami Tobek, Ketua Kaum Kampung Rangkang Sharkawi Razali serta Ketua Zon 4 Rangawan Rafendy Ariffen. -EDISI UKAS