24 Mangsa Kebakaran Kampung Buntal Terima Bantuan Awal, Kebajikan Terus Jadi Keutamaan
KUCHING: Keprihatinan terhadap nasib mangsa kebakaran di Kampung Buntal terus dizahirkan apabila bantuan awal segera disalurkan kepada 24 penduduk yang terjejas dalam kejadian yang memusnahkan dua buah rumah di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, turun padang menziarahi keluarga mangsa bagi meninjau sendiri keadaan semasa serta keperluan mendesak mereka.
Lawatan tersebut memberi ruang kepada beliau untuk menilai kerosakan yang dialami serta memahami cabaran dihadapi keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda dalam kejadian berkenaan.
Dalam lawatan itu, bantuan awal berupa bakul makanan dan sumbangan kewangan telah disampaikan bagi meringankan beban mangsa dalam tempoh pemulihan awal.
Kejadian kebakaran tersebut melibatkan dua keluarga dengan jumlah keseluruhan 24 penghuni di mana rumah pertama menempatkan 12 orang, terdiri daripada lima dewasa dan tujuh kanak-kanak, termasuk enam pelajar sekolah.
Sementara itu, rumah kedua turut dihuni 12 orang termasuk seorang individu orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda, dengan empat kanak-kanak yang mana tiga daripadanya masih bersekolah, manakala sebahagian ahli keluarga dewasa bekerja.
Dalam pada itu, usaha penyelarasan bantuan jangka pendek dan sokongan kebajikan dijangka diteruskan bagi memastikan semua mangsa dapat meneruskan kehidupan dengan lebih teratur selepas insiden tersebut.
Pendekatan turun padang ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, khususnya dalam situasi kecemasan dan bencana. -EDISI UKAS