Program Keterlibatan Komuniti Gedong Buka Laluan Pengajian Tinggi Pelajar
GEDONG: Program Keterlibatan Komuniti Daerah Gedong anjuran Kolej Universiti I-CATS membuka peluang lebih luas kepada pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, sekali gus membina masa depan yang lebih cerah.
Naib Canselor Kolej Universiti I-CATS Emeritus Datuk Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi berkata, inisiatif seperti itu selari dengan pelaksanaan Free Tertiary Education Scheme (FTES) oleh Kerajaan Sarawak yang memudahkan akses pendidikan tinggi kepada anak tempatan.
Menurut beliau, program berteraskan komuniti berkenaan turut memberi nilai tambah kepada masyarakat menerusi perkongsian ilmu yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
“Usaha ini bukan sahaja membuka ruang pendidikan, malah membantu membentuk komuniti berilmu dan berdaya saing,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pusat baharu I-CATS akan dibangunkan di Trombol bagi menampung pertambahan pelajar pada masa hadapan.
Sementara itu, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Gedong, Muhammad Firdaus Habari berkata, penganjuran program tersebut amat bertepatan khususnya kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru menerima keputusan pada penghujung Mac lalu.
“Seperti yang kita sedia maklum, pendidikan adalah benteng kesejahteraan yang paling ampuh. Dalam dunia yang serba mencabar ini, ilmu bukan sekadar untuk mendapatkan kerjaya tetapi merupakan instrumen penting dalam membina minda kritis serta meningkatkan daya tahan ekonomi keluarga,” katanya.
Turut hadir Wakil Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan, Ismail Ahmad.-EDISI UKAS