GEDONG: Inisiatif Kolej Universiti I-CATS menganjurkan Program Keterlibatan Komuniti di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong dilihat sebagai langkah proaktif dalam mendekatkan peluang pendidikan tinggi kepada masyarakat luar bandar, sekali gus mengurangkan kebergantungan untuk mendapatkan maklumat di bandar utama seperti Kuching.
Bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Nailah Afrah Jakaria menyifatkan program tersebut sebagai peluang berharga dalam membantu membuat keputusan berkaitan masa depan pendidikan.
Menurutnya, pendekatan secara bersemuka membolehkan pelajar melihat sendiri program yang ditawarkan serta menilai kesesuaian dengan keputusan SPM masing-masing.
“Program ini sangat membantu kami kerana tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan maklumat. Kami boleh terus bertanya kepada pihak universiti dan memahami dengan lebih jelas pilihan yang ada.
“Ia memberi keyakinan kepada kami untuk membuat keputusan yang tepat bagi masa depan,” katanya ketika ditemui pemberita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas program itu, pada Ahad.
Sementara itu, orang awam, Iswandi Abai menegaskan bahawa penganjuran program di peringkat daerah amat signifikan dalam meringankan beban ibu bapa, khususnya dari segi kos dan masa.
“Program seperti ini sangat membantu kerana kami tidak perlu lagi ke Kuching semata-mata untuk mendapatkan maklumat pendidikan.
“Kami boleh berjumpa terus dengan pihak universiti, bertanya dan mendapatkan penjelasan secara menyeluruh untuk anak-anak kami,” ujarnya.
Tambah beliau, status Kolej Universiti I-CATS sebagai institusi di bawah Kerajaan Sarawak turut meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti serta kualiti pendidikan yang ditawarkan.
Dalam masa sama, pelbagai inisiatif pendidikan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri termasuk bantuan kewangan dan skim sokongan menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pengajian tanpa kekangan.
Penganjuran program seumpama ini dilihat bukan sahaja memperluas akses pendidikan tinggi kepada komuniti luar bandar, malah menjadi pemacu kepada pembangunan modal insan yang lebih berdaya saing di Sarawak. -EDISI UKAS