Kontraktor JKR Ditegas Patuhi Jadual, Elak Jejas Pembangunan & Rakyat
ULU TERU: Ketegasan Kerajaan Sarawak terhadap aspek pelaksanaan projek terus diperkukuh apabila semua kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) diingatkan supaya menyiapkan projek mengikut jadual serta menepati spesifikasi yang ditetapkan, tanpa sebarang kompromi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan sebarang kelewatan bukan sahaja menjejaskan momentum pembangunan negeri, malah memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.
“Kerajaan Sarawak tidak akan bertolak ansur terhadap projek yang lewat atau gagal memenuhi spesifikasi. Tiada alasan untuk kelewatan yang disengajakan,” katanya ketika berucap semasa majlis pecah tanah projek menurap jalan ke Kampung Ulu Teru, Tinjar pada Ahad.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II turut menggesa JKR Sarawak mempertingkat pemantauan pelaksanaan projek secara berterusan bagi memastikan kemajuan kerja sentiasa berada pada landasan ditetapkan.
“Sekiranya berlaku kelewatan, laporan tindakan perlu disediakan segera dan langkah pembetulan mesti diambil tanpa berlengah. Ini adalah amanah kepada rakyat dan pembangunan negeri,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kawasan DUN Marudi kini dilimpahi pembangunan apabila sebanyak 52 projek infrastruktur bernilai lebih RM722 juta telah diluluskan.
Daripada jumlah tersebut, 25 projek telah siap sepenuhnya, manakala empat projek bernilai RM387 juta sedang dalam pelaksanaan dan baki 23 projek bernilai RM335 juta kini berada pada peringkat penyediaan tender.
Jelas beliau, kesemua inisiatif ini mencerminkan kesungguhan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan pembangunan yang lebih seimbang, khususnya di kawasan luar bandar.
Menyentuh projek jalan Ulu Teru, beliau berkata projek bernilai RM45.2 juta itu melibatkan pembinaan jalan sepanjang kira-kira 23.4 kilometer, termasuk 21.5 kilometer naik taraf jalan sedia ada serta 1.9 kilometer jalan baharu mengikut standard JKR R1.
“Skop projek turut merangkumi pembinaan enam jambatan jenis Rolled Steel Joists (RSJ), sebuah jambatan konkrit, pemasangan pembetung, sistem perparitan serta perabot jalan raya bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna,” jelasnya.
Tambah beliau, projek yang bermula pada 18 Disember 2025 itu dijadual siap dalam tempoh dua tahun, iaitu pada Disember 2027.
Apabila siap kelak, projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada 14 rumah panjang melibatkan 397 pintu dengan kira-kira 2,500 penduduk, selain turut memberi limpahan manfaat kepada 35 rumah panjang lain dengan sekitar 5,600 penduduk di kawasan Ulu Teru dan sekitarnya termasuk Sungai Nat, Sungai Lamah dan Bukit Limau.
Penduduk, katanya, tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada laluan sedia ada, sebaliknya akan menikmati jaringan perhubungan yang lebih lancar ke pekan, sekolah, klinik serta kawasan pertanian.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa sejak 2017, sejumlah RM5.49 juta telah disalurkan melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi pelaksanaan projek pengubahsuaian, penyelenggaraan serta pembelian peralatan untuk rumah ibadah di Marudi.
Selain itu, sebanyak RM657,950 turut diagihkan untuk pelaksanaan projek di enam sekolah mubaligh di kawasan berkenaan.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Marudi Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Sadong Jaya Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Pengarah JKR Sarawak Datu Dr Cassidy Morris, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datu Chiew Chee Yau serta Residen Bahagian Miri Galong Luang. –EDISI UKAS