Gelanggang Futsal Baharu Suntik Semangat Murid SK Sungai Selidap
BINTANGOR: Kegembiraan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Selidap jelas terpancar apabila projek pembinaan gelanggang futsal di bawah peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) berjumlah RM250,000 siap sepenuhnya.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, pembinaan projek tersebut merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan dalam menyediakan persekitaran pembelajaran dan sukan yang lebih kondusif.
"Kemudahan ini bukan sahaja untuk aktiviti sukan, malah ia turut berfungsi sebagai platform untuk membentuk disiplin tinggi, semangat kerjasama berpasukan serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Gelanggang Futsal SK Sungai Selidap, di sini, pada Isnin.
Dato Ir Yusuf menjelaskan, pembinaan gelanggang tersebut mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat sukan dari peringkat akar umbi.
"Kita percaya dengan adanya kemudahan ini, ia akan menyuntik semangat murid untuk lebih aktif, sekali gus membolehkan kita mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi mengharumkan nama sekolah dan kawasan ini dalam bidang sukan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan komuniti setempat termasuk penduduk rumah panjang untuk memanfaatkan kemudahan tersebut bagi penganjuran aktiviti kemasyarakatan.
Katanya, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan kemudahan tersebut dijaga dengan baik supaya dapat memberi manfaat jangka panjang kepada warga sekolah dan penduduk sekitar.-EDISI UKAS