61 KMKK Meradong Terima Pelanjutan, 7 Dilantik Baharu
MERADONG: Seramai 61 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) menerima pelanjutan sijil pelantikan, manakala tujuh lagi menerima pelantikan baharu dalam usaha memperkukuh kepimpinan di peringkat akar umbi di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing menzahirkan keyakinan bahawa semua yang dilantik mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan baik.
Beliau berkata, pelantikan berkenaan bukan sekadar satu pengiktirafan, malah merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan dedikasi kepada masyarakat setempat.
“Peranan KMKK amat penting sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan, selain menjadi barisan hadapan dalam menyampaikan maklumat, memelihara keharmonian masyarakat serta membantu menyelesaikan isu-isu di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penyerahan sijil tersebut di Dewan Pejabat Daerah Meradong pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Ding menambah, bagi menghadapi cabaran semasa, pemimpin masyarakat perlu sentiasa berwibawa, proaktif, prihatin serta peka terhadap keperluan rakyat.
Selain itu, beliau berharap semua KMKK akan terus bekerjasama erat dengan pihak kerajaan serta agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS