Program Susulan SY Startup Perkasa Usahawan Belia, Fokus Pantau Prestasi dan Perluas Sokongan
KUCHING: Program susulan kepada peserta Sarawak Youth Startup (SY Startup) terus diperkasa sebagai platform penting bagi memantau perkembangan serta mengenal pasti cabaran dihadapi usahawan belia selepas menamatkan latihan intensif.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr Ripin Lamat berkata, penganjuran sesi ‘Meet & Greet’ bersama peserta Kohort 1 dan Kohort 2 di Sarawak Sports Village menjadi medium untuk kementerian menilai prestasi sebenar usahawan serta merangka intervensi bersesuaian.
Menurut beliau, program tersebut merupakan kesinambungan kepada kursus intensif selama lapan hari di bawah Program Pembangunan Usahawan SY Startup yang memberi penekanan kepada pembangunan ‘knowledge capital’ dalam kalangan peserta.
“Program ini bukan sekadar latihan, tetapi kita turun padang untuk melihat sendiri perkembangan mereka, termasuk isu yang dihadapi supaya bantuan dapat disalurkan secara lebih tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Meet & Greet SY Startup Aidilfitri di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan setakat ini seramai 425 peserta telah menyertai program tersebut merangkumi 275 peserta Kohort 1 dan 150 peserta Kohort 2, dengan lebih 65 peratus peserta Kohort 1 menunjukkan prestasi konsisten dalam perniagaan masing-masing.
“Malah, terdapat usahawan yang berjaya mencatat pendapatan bulanan melebihi RM80,000, manakala sebahagian lagi sedang berkembang secara berperingkat daripada perniagaan kecil kepada kiosk, trak makanan dan outlet tetap,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menambah kementerian turut melaksanakan pemantauan berterusan secara berkala sehingga tiga tahun bagi memastikan kelangsungan perniagaan peserta.
Selain itu, Datuk Dr Ripin turut memaklumkan bahawa sektor makanan dan minuman (F&B) kekal sebagai penyumbang utama dalam kalangan usahawan SY Startup, diikuti sektor perkhidmatan, pelancongan serta teknologi maklumat yang menunjukkan peningkatan dalam Kohort 2.
Dalam usaha memperluas peluang pasaran, kementerian juga bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk MATRADE bagi membawa usahawan menyertai ekspo dan pameran perdagangan di dalam serta luar Sarawak.
Pada masa sama, beliau menegaskan pembangunan usahawan belia merupakan antara fokus utama di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yang bertujuan melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan berbanding pencari pekerjaan.
“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan muda berjaya, bukan sahaja menjana pendapatan sendiri tetapi turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat,” tambahnya.
Menurut beliau lagi, kementerian akan terus mempergiat pelaksanaan pelbagai program pembangunan usahawan termasuk Belia Go-Biz, Youth Entrepreneur Setup 3.0, Youth Escape serta Sarawak Business Idea Competition (SEBIC) yang menyasarkan penyertaan belia di seluruh negeri.-EDISI UKAS