Lebih Ramai Golongan Muda Perlu Sertai Bomba Sukarela Kabong
KABONG: Penyertaan golongan muda dalam Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kabong perlu dipertingkatkan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan sukarela terus kekal relevan dan berdaya tahan pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Dato Mohd Chee Kadir berkata, keperluan itu dilihat penting memandangkan peranan pasukan tersebut semakin mencabar dalam mendepani pelbagai situasi kecemasan di peringkat komuniti.
“Pasukan ini tidak seharusnya bergantung kepada ahli sedia ada sahaja. Kita perlu melahirkan lebih ramai ahli baharu khususnya dalam kalangan belia supaya kesinambungan perkhidmatan ini dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri serta simbolik penyerahan peralatan kepada PBS Kabong, di sini, pada Isnin.
Dato Mohd Chee menambah, pasukan bomba sukarela di kawasan itu disifatkan sebagai antara yang paling aktif di Sarawak dan sentiasa komited membantu masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar satu lokasi khas diwujudkan sebagai pusat operasi yang lebih tersusun selain menggesa pihak ibu pejabat bomba meneliti keperluan semasa pasukan bagi memastikan perkhidmatan dapat dipertingkatkan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Penghulu Rahman @ Dom Kapok atas komitmen sebagai penggerak utama pasukan sehingga mendapat pengiktirafan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini.
Sebagai wakil rakyat, beliau menegaskan komitmen berterusan untuk terus menyokong usaha memperkasa pasukan bomba sukarela demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Dalam majlis tersebut, turut diadakan simbolik penyerahan pelbagai peralatan bagi memperkukuh keupayaan operasi pasukan termasuk baju perlindungan serangga berbisa, penyepit ular, pakaian rasmi, topi, jaket keselamatan, mesin gergaji, bot serta enjin bot.
Antara yang turut hadir semasa majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Kabong Tahir Mohd Sharee, Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban Steve Miller, Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Zon 3 Sri Aman Rais Adaham Rasalan, Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Saratok Putra Ila serta Pegawai Kebajikan Daerah Kabong, Juhayati Dahlan.-EDISI UKAS