PKS Tonggak Ekonomi, Sarawak Perhebat Pembangunan Syarikat Bumiputera
KUCHING: Usaha memperkasa syarikat Bumiputera terus diperkukuh dengan tumpuan kepada pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai pemacu utama ekonomi negeri bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi inklusif serta melahirkan lebih banyak syarikat tempatan berdaya saing.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, PKS memainkan peranan penting sebagai tulang belakang ekonomi dengan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta peluang pekerjaan.
“PKS ini merupakan tulang belakang ekonomi kita. Sumbangannya kepada pembangunan ekonomi dan KDNK negara begitu besar, begitu juga dalam mewujudkan peluang pekerjaan, namun masih ada yang berskala kecil dan belum berdaftar.
“Disebabkan itu, kita melaksanakan pelbagai program termasuk inisiatif pendaftaran perniagaan seperti ‘Jom Regista Bisnes’ bagi memastikan lebih banyak syarikat didaftarkan, sekali gus membolehkan pangkalan data yang lengkap untuk memudahkan penyaluran bantuan secara lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sarawak 2026 di TEGAS Digital Village, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan (MINTRED) turut memaklumkan bahawa, melalui kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), sebanyak lapan syarikat Bumiputera telah dikenal pasti berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Menurutnya, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya satu syarikat tempatan berjaya disenaraikan menjelang penghujung tahun ini.
Turut hadir semasa majlis ini ialah Timbalan Menteri Ekonomi Dato Indera Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan Dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Penasihat PKS MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi serta dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS