Perpaduan asas kukuh pembangunan Sarawak, Nikmati kemajuan secara inklusif
MIRI: Perpaduan rakyat yang utuh terus menjadi tunjang utama kepada kejayaan pembangunan Sarawak, khususnya dalam memastikan kemajuan dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika merasmikan Majlis Gongxi Raya 2026 DUN N.72 Lambir yang berlangsung meriah di Dewan Taman Jelita, Off Taman Tunku, pada Ahad.
Menurut beliau, kestabilan politik serta kerjasama erat dalam kalangan rakyat pelbagai kaum telah meletakkan Sarawak pada landasan kukuh untuk terus membangun dan berdaya saing.
“Kita mungkin berbeza dari segi kaum, agama dan budaya, tetapi kita mampu hidup aman dan bekerjasama. Inilah kekuatan Sarawak yang membolehkan kita mencapai kestabilan serta kemajuan berterusan,” katanya semasa berucap.
Sementaraa itu, beliau memaklumkan bahawa peningkatan hasil negeri sejak beberapa tahun kebelakangan ini membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.
Dalam konteks pembangunan setempat, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneliti keperluan infrastruktur di kawasan DUN Lambir termasuk cadangan pembinaan jalan penghubung kedua bagi mengurangkan kesesakan di Taman Tunku dan kawasan sekitarnya.
Beliau memaklumkan projek tersebut telah disenaraikan dalam perancangan pembangunan dan kajian sedang dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaannya dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Datuk Dr. Ripin Lamat dalam ucapan aluannya memohon agar projek jalan penghubung kedua sepanjang kira-kira 6.79 kilometer dengan anggaran kos sekitar RM14 juta dapat dipercepatkan.
Menurut beliau, kebergantungan kepada laluan sedia ada di kawasan Taman Tunku, Taman Jelita dan sekitarnya sering menyebabkan kesesakan teruk, sekali gus menjejaskan kelancaran pergerakan harian penduduk.
Katanya, projek berkenaan bukan sahaja mampu mengurangkan kesesakan trafik, malah berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan Sungai Rait, Tukau dan sekitarnya.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat I merangkap ADUN Bekenu, Datuk Rosey Yunus serta Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir Aidel Lariwoo.-EDISI UKAS