Projek Tebatan Banjir Sungai Sinjan Dijangka Siap Oktober 2027
KUCHING: Projek Tebatan Banjir Sungai Sinjan yang menelan perbelanjaan sebanyak RM41.9 juta dijangka siap sepenuhnya pada bulan Oktober tahun hadapan.
Siapnya projek ini nanti akan menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu banjir di sekitar Kuching, khususnya kawasan Matang dan sekitarnya.
Susulan itu, satu tinjauan projek telah dilaksanakan yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof, di sini, pada Isnin.
Difahamkan, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan inisiatif Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak bernilai RM191 juta, yang merangkumi tiga pakej utama bagi memperkukuh sistem saliran dan mengurangkan risiko banjir di kawasan berisiko tinggi.
Antara komponen utama projek termasuk pembinaan kolam takungan kering, sistem saliran konkrit serta struktur kawalan aliran air yang direka bagi meningkatkan kecekapan pengurusan air, khususnya ketika hujan lebat.
Apabila siap kelak, projek ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,800 penduduk serta melindungi kawasan seluas lebih 330 ekar daripada ancaman banjir, sekali gus meningkatkan kualiti hidup dan keselamatan komuniti setempat.
Dalam lawatan tersebut, delegasi turut meninjau lokasi pelaksanaan termasuk jajaran sistem saliran baharu serta kerja-kerja mendalam dan melebarkan sungai yang menjadi komponen kritikal dalam meningkatkan kapasiti aliran air.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman. -EDISI UKAS