TYT Sarawak & Isteri Terima Kunjungan Hormat Konsul Jeneral China Di Kuching
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Xing Weiping di Astana Negeri Sarawak pada Isnin.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan Xing Weiping secara rasmi sebagai Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching selain memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Sarawak dan China.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai bidang strategik termasuk ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau serta pembangunan sektor pertanian.
Xing Weiping turut menyatakan kekaguman terhadap perkembangan pesat pembangunan, kestabilan politik serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak, dan menegaskan komitmen China untuk terus menjadi rakan pembangunan yang signifikan dalam menyokong aspirasi Sarawak mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut berkongsi pengalaman semasa berkhidmat di peringkat Kerajaan Persekutuan, termasuk beberapa lawatan rasmi ke China yang memperlihatkan transformasi pembangunan pesat negara tersebut sejak tahun 1990-an, selain menyentuh sejarah hubungan diplomatik dan perdagangan antara Malaysia dan China yang telah terjalin sejak era Perdana Menteri kedua, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Malaysia Dato Fenny Nuli, Naib Konsul Jeneral Chong Changhong, Setiausaha Pertama Yu Xing, Setiausaha Kedua, Zeng Haoyao serta Setiausaha Ketiga Zhang Wan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Naseem