TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Pengerusi FELDA
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Astana Negeri Sarawak pada Isnin.
Kunjungan tersebut membincangkan peranan FELDA dalam menyokong kestabilan ekonomi peneroka, khususnya dalam konteks pembangunan wilayah Sarawak.
Dalam pertemuan yang berlangsung hampir satu jam itu, Datuk Seri Ahmad Shabery turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi yang komited dalam melaksanakan amanah serta mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Beliau turut menyatakan kekaguman terhadap kemajuan Sarawak dalam bidang ekonomi hijau dan ekonomi digital yang kini menjadi contoh di peringkat nasional.
Dalam pertemuan sama, Datuk Seri Ahmad Shabery turut berkongsi maklumat mengenai program-program terkini FELDA yang dirangka bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai status negeri maju.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi berharap agar kerjasama antara agensi Persekutuan dan Kerajaan Sarawak akan terus diperkukuhkan dalam memacu agenda pembangunan negeri. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Naseem