Isu SPK & Infrastruktur Jalan Fokus Perancangan Pembangunan Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Isu Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan infrastruktur jalan terus menjadi fokus utama dalam perancangan pembangunan di kawasan Kota Samarahan.
Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, perancangan yang tersusun dan berasaskan data tepat amat penting bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi impak kepada rakyat.
Menurut beliau, isu berkaitan SPK yang berlaku di beberapa kawasan di Kota Samarahan memerlukan tindakan segera dan penyelesaian komprehensif diambil oleh pihak berkaitan.
Selain itu tegasnya, cadangan pembinaan jalan baharu turut diberi perhatian serius, khususnya di kawasan sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Samarahan yang dijangka mula beroperasi dalam masa terdekat.
Jelas beliau, perancangan infrastruktur jalan yang efisien amat penting bagi memastikan kelancaran trafik serta memudahkan akses penduduk, khususnya pelajar dan warga sekolah.
“Perancangan awal ini penting supaya kita dapat mengelakkan kesesakan serta memastikan kemudahan asas disediakan seiring dengan pertambahan pembangunan di kawasan ini,” katanya semasa perbincangan diadakan di sini pada Isnin.
Beliau turut berharap agar segala perancangan yang telah dibincangkan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan demi kesejahteraan serta keselesaan rakyat di Kota Samarahan.
Hadir sama, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan Ahmad Raslan Yaiyah, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin dan Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) Anuar Da’an. -EDISI UKAS