Seminar “Tadbir Urus Bijak Wang” Perkukuh Literasi Kewangan Penjawat Awam di Miri
MIRI: Usaha memperkukuh literasi kewangan dalam kalangan penjawat awam terus diperkasa menerusi penganjuran Seminar “Tadbir Urus Bijak Wang” yang memberi penekanan terhadap kepentingan pengurusan kewangan berhemah demi kesejahteraan hidup yang lebih seimbang.
Program anjuran Sarawak Medical Services Union (SMSU) Cawangan Miri itu berlangsung di Bilik Seminar Blok B, Hospital Miri pada Sabtu dan telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Hospital (Pengurusan), Rita Elisha Mering.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa kecekapan mengurus kewangan peribadi kini menjadi satu keperluan penting, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi semasa.
Menurut beliau, penjawat awam perlu lebih berdisiplin dalam merancang kewangan bagi memastikan kestabilan hidup serta mengelakkan tekanan yang boleh menjejaskan kesejahteraan diri dan keluarga.
“Pengurusan kewangan yang baik bukan sahaja membantu menjamin kestabilan ekonomi individu, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan mental dan keharmonian institusi keluarga,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran seminar seperti ini merupakan langkah proaktif dalam membantu peserta membina daya tahan diri melalui pendekatan pengurusan kewangan yang sistematik dan berkesan.
Sementara itu, Pengerusi SMSU Cawangan Miri, Benedict Jong Kui Jin dalam ucapan alu-aluannya berkata, seminar tersebut bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta berkaitan aspek pengurusan kewangan termasuk kawalan perbelanjaan, pengurusan hutang serta kepentingan simpanan dan perlindungan kewangan.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai sesi perkongsian meliputi taklimat insurans berkelompok oleh wakil Great Eastern, sesi psikologi berkaitan ketenangan minda serta kesejahteraan keluarga, selain taklimat mengenai isu keterhutangan serius dan kebankrapan serta implikasinya terhadap penjawat awam.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan Mesyuarat Agung Tahunan SMSU 2026 yang menjadi platform membentangkan laporan tahunan, penyata kewangan serta membincangkan hala tuju organisasi.
Mesyuarat tersebut turut menyaksikan pembubaran Ahli Jawatankuasa sesi 2024–2026 dan pelantikan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2026–2028.
Penganjuran seminar ini dilihat bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengurusan kewangan yang efektif, malah mengukuhkan peranan SMSU sebagai organisasi yang komited dalam menjaga kebajikan serta pembangunan ahlinya ke arah lebih progresif dan berdaya tahan.-EDISI UKAS