Program STEM Catalysts Di Mukah Tarik Penyertaan 10 Sekolah
MUKAH: Sebanyak 10 buah sekolah rendah dan menengah sekitar Daerah Mukah menyertai Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Catalysts yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, Mukah dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran program tersebut, sekali gus membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memperkasa pendidikan STEM dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, ini membuktikan komitmen semua pihak dalam melahirkan generasi yang bersedia menghadapi masa depan, dipacu oleh ilmu pengetahuan, inovasi dan teknologi.
“Suatu hari kelak, Sarawak akan berdiri megah sebagai peneraju dalam teknologi dan inovasi dan saya berharap agar ramai dalam kalangan pelajar-pelajar kita berada di barisan hadapan memimpin perubahan tersebut.
“Anda bukan sahaja pelajar hari ini, tetapi juga bakal saintis, jurutera dan pemimpin masa depan Sarawak, maka teruskan berimpian besar, kekalkan rasa ingin tahu serta jangan pernah berhenti belajar,” katanya selepas menghadiri program tersebut.
Menyentuh mengenai program ini, Royston memberitahu, ia dirangka untuk mendidik dan memberi inspirasi kepada generasi muda dengan menunjukkan bagaimana STEM diaplikasikan dalam kehidupan sebenar.
Jelasnya, ia bukan sekadar dalam buku teks, malah perkara yang dilihat, gunakan dan bergantung kepadanya setiap hari daripada teknologi dan inovasi sehingga kepada penyelesaian masalah serta penciptaan baharu.
Sehubungan itu, beliau amat teruja melihat peserta mengunjungi reruai pameran, menyaksikan demonstrasi, mengemukakan soalan dan menunjukkan sifat ingin tahu.
“Mereka gemar mencuba sesuatu yang baharu dan ia adalah satu perkembangan yang sangat baik,” tambahnya. -EDISI UKAS