Kerajaan Perketat Kawalan Sempadan, 22 Stesen Minyak Sarawak Dalam Pemantauan
KUCHING: Kerajaan memperkukuh usaha membanteras ketirisan bahan api di kawasan sempadan menerusi pelancaran OPS Tiris 4.0 di stesen minyak berisiko tinggi, dengan 22 lokasi di Sarawak dikenal pasti untuk pemantauan bersepadu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, keputusan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April 2026 sebagai langkah memperluas penempatan statik penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurut beliau, daripada 151 stesen minyak yang dikenal pasti di seluruh negara, sebanyak 87 terletak di kawasan sempadan manakala 64 lagi dikategorikan sebagai berisiko tinggi berdasarkan pola jualan mencurigakan.
“Jika dilihat di kawasan sempadan, daripada 87 stesen minyak yang dikenal pasti, sebanyak 22 terletak di Sarawak termasuk di Limbang, Lubok Antu dan Lundu, yang akan dipantau oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Penubuhan Pasukan
Petugas Khas OPS Tiris 4.0 di sebuah hotel terkemuka, di Kuching, pada Isnin.
Jelasnya, langkah itu membolehkan KPDN memberi tumpuan khusus kepada lokasi berisiko tinggi termasuk 16 depoh diesel Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (PANESA), 25 stesen minyak tanpa jenama, 153 skid tank persendirian berpermit serta jeti haram yang menjalankan aktiviti ‘bunkering’ di seluruh sungai di Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Ops Tiris 4.0 yang dilaksanakan sejak 16 Mac lalu menunjukkan keberkesanan apabila merekodkan 13,759 pemeriksaan dalam tempoh kurang sebulan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 239 kes telah dikesan melibatkan pelbagai barangan kawalan termasuk diesel, petrol RON95, gas petroleum cecair (LPG) serta minyak masak, gula dan tepung gandum.
“Dari 16 Mac hingga 12 April 2026, sebanyak 13,759 pemeriksaan telah dilaksanakan yang menghasilkan 239 kes dan daripada jumlah tersebut, 99 kes melibatkan diesel dengan nilai rampasan melebihi RM3.1 juta, diikuti 61 kes melibatkan petrol RON95 dengan rampasan bernilai RM95,387.65 serta 30 kes melibatkan LPG dengan jumlah rampasan RM45,103.34.
“Selain itu, 49 kes turut melibatkan barangan kawalan lain seperti minyak masak, gula dan tepung gandum,” jelasnya lagi.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut mendedahkan, setakat 12 April 2026, nilai rampasan keseluruhan telah mencecah RM11 juta di mana bagi Sarawak, sebanyak 48 kes direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM6.7 juta.
Tambahnya, kejayaan operasi tersebut adalah hasil kerjasama erat pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung dan membatalkan kelulusan ‘fleet card’ di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan subsidi diesel nelayan sekiranya berlaku penyalahgunaan.
Hadir sama, Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ketua Setiausaha KPDN Dato Seri Mohd Sayuthi Bakar dan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam. -EDISI UKAS