Projek Bekalan Air RM1.054 Juta Perkukuh Infrastruktur Kampung Rumih
BAU: Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan luar bandar terus dizahirkan menerusi pelaksanaan Projek Penyambungan Paip Air Terawat di Jalan Sungai Padang, Kampung Rumih yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
Majlis penyerahan tapak projek itu telah dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, Ketua Kaum Kampung Rumih, KK Noni Nyopis bersama kira-kira 30 penduduk kampung.
Billy berkata, projek bekalan air tersebut melibatkan peruntukan asal sebanyak RM1.12 juta dengan harga kontrak bernilai RM1.054 juta, merangkumi pembinaan sistem bekalan air lengkap termasuk tangki penggalak.
Menurut beliau, kemudahan tangki penggalak amat penting bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi khususnya ketika berlaku gangguan bekalan, sekali gus memberi kelebihan kepada penduduk Kampung Rumih berbanding beberapa kawasan lain.
“Kerajaan tidak hanya mahu merancang, tetapi lebih penting melihat hasil kerja yang nyata demi kesejahteraan rakyat. Projek seperti ini membuktikan usaha berterusan kita dalam memastikan kemudahan asas sampai ke peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau turut mengakui isu bekalan air masih menjadi cabaran utama di kawasan luar bandar, khususnya dari segi kualiti air yang terjejas ketika musim hujan.
Sehubungan itu jelasnya, usaha membangunkan loji rawatan air baharu sedang digerakkan di bawah inisiatif Kerajaan Sarawak bagi memastikan penyelesaian jangka panjang dapat direalisasikan.
Selain projek bekalan air, beberapa projek infrastruktur lain turut dilaksanakan di Kampung Rumih termasuk projek paip bernilai RM1.12 juta, pembinaan jalan pertanian berjumlah RM400,000 serta tambahan RM1.2 juta yang dikongsi bersama kawasan lain.
Bagi kemudahan perhubungan, projek jalan rumah ke rumah fasa pertama bernilai RM1.8 juta telah siap sepenuhnya, manakala permohonan tambahan sebanyak RM300,000 sedang diusahakan bagi pelaksanaan fasa kedua melibatkan rumah-rumah baharu.
Dalam usaha meningkatkan keselamatan komuniti, pemasangan lampu jalan kini berada di peringkat akhir penentuan lokasi dengan keutamaan diberikan kepada kawasan tumpuan awam serta lokasi berisiko.
Tambah beliau, sokongan padu rakyat terhadap Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak menjadi faktor utama kejayaan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan luar bandar.
“Pembangunan ini adalah hasil kerjasama semua pihak. Dengan sokongan berterusan rakyat, lebih banyak projek dapat kita laksanakan demi kesejahteraan bersama,” ujarnya.-EDISI UKAS