Pelabuhan Bintulu Diisytihar Sebagai Zon Bebas Bagi Pelaburan, Pengembangan Industri
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Pelabuhan Bintulu akan terus menjadi pusat penting dalam menyokong rantaian bekalan, menarik pelaburan dan menyokong aktiviti ekonomi hiliran.
Tambahnya, pelabuhan tersebut pastinya akan berperanan sebagai pemangkin kepada pelaburan baharu dan pengembangan industri seiring dengan pembangunan yang semakin pesat di kawasan tersebut.
"Zon bebas yang tersusun dengan baik bukan sekadar mengenai insentif tetapi sebaliknya tentang mewujudkan ekosistem yang menggalakkan inovasi, kecekapan dan kehadiran industri jangka panjang.
"Sehubungan itu, saya menggalakkan Bintulu Port Holding Berhad (BPHB) untuk melaksanakan usaha ini dengan segera serta tujuan yang jelas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 BPHB di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Dalam usaha meningkatkan kecekapan industri yang ada di kawasan tersebut, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Kerajaan kini sedang meneroka dimensi baharu dalam aspek keterhubungan melalui pembinaan rangkaian rel.
Jelasnya, ini akan menghubungkan Pelabuhan Samalaju dan Pelabuhan Bintulu dengan kajian strategik kini sedang dijalankan dalam menambah kecekapan pergerakan industri yang ada di kedua-dua pelabuhan tersebut.
"Rangkaian rel ini, perkataan mudahnya keretapi, yang menghubungkan Bintulu, Kidurong dan Samalaju akan mewujudkan rangkaian tiga satelit bagi pergerakan barangan dan manusia secara pantas serta menggunakan teknologi hijau," katanya.
Pada kemuncak majlis, Premier Sarawak turut menyaksikan penyerahan Penyerahan kelulusan prinsip bagi Zon Komersial Bebas Pelabuhan Samalaju diantara Kementerian Kewangan kepada BPHB.
Pada masa sama, beliau turut menyaksikan penyerahan dividen BPHB kepada Kerajaan Sarawak melalui Setiausaha Kewangan Sarawak sebanyak RM28 juta bagi tahun 2025.
Selain itu, turut diadakan penyerahan memorandum persefahaman antara BPHB dan Sarawak Petchem, Shanghai International Port Group (SIPG) serta Brooke Holding.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Dato Ruslan Abdul Ghani serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus