Randau Aksara Tunas Kenyalang Cungkil Bakat Penulis Muda Luar Bandar
DARO: Penganjuran Randau Aksara Tunas Kenyalang 2026 bersempena Minggu Penulis Remaja dan Minggu Penulis Kanak-kanak dilihat menjadi platform penting dalam mencungkil serta menggilap bakat penulis muda, khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar di kawasan Matu-Daro.
Majlis penangguhan program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Hijrah Badong itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Program berkenaan diadakan selama dua hari, dari 13 hingga 14 April 2026 dengan penyertaan 15 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah sekitar Matu-Daro.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah Daro serta Sekolah Kebangsaan Hijrah Badong atas kerjasama menjayakan program tersebut.
Menurut beliau, pendekatan program kali ini yang lebih santai, berfokus dan inovatif mampu menarik minat pelajar dalam bidang penulisan cerpen dan puisi, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada generasi muda luar bandar untuk menyerlah dalam bidang kesusasteraan.
Beliau turut menyambut baik usaha berterusan menganjurkan program seumpama itu dalam melahirkan lebih ramai penulis muda berwibawa dari luar bandar Sarawak pada masa hadapan.
Hadir sama Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Dr Azizul Ismail, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Hijrah Badong, Jamali Kadir serta Timbalan Sektor Pengurusan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Daro, Hamad Baduri. -EDISI UKAS