Pemimpin Akar Umbi Perlu Proaktif, Pendidikan Kunci Masa Depan
GEDONG: Penekanan terhadap peranan pemimpin komuniti dan kepentingan pendidikan merupakan asas kepada kesejahteraan rakyat.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee menegaskan pemimpin di peringkat akar umbi perlu memainkan peranan proaktif sebagai penghubung utama antara rakyat dan kerajaan dalam memastikan setiap isu setempat dapat ditangani secara cepat dan berkesan.
“Pemimpin komuniti perlu sentiasa peka, proaktif dan bertanggungjawab dalam mengenal pasti setiap isu di kawasan masing-masing seterusnya menyalurkannya kepada pihak berkaitan agar tindakan segera dapat diambil.
"Ini penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya semasa Majlis Mahabbah Aidilfitri Zon Pangkor di Kampung Sungai Ba, di sini pada Selasa.
Selain itu, beliau turut menggariskan kepentingan pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang yang mampu mengubah masa depan individu dan komuniti secara menyeluruh.
Menurut beliau, kegagalan memberi penekanan terhadap pendidikan boleh memberi implikasi besar kepada pembangunan generasi akan datang.
“Walaupun impaknya mungkin tidak dirasai dalam masa terdekat, namun kegagalan memberi penekanan terhadap pendidikan akan memberi kesan besar pada masa hadapan. Pendidikan adalah kunci utama untuk mengubah taraf hidup serta melahirkan generasi yang lebih berjaya,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut menjadi platform mempererat hubungan antara masyarakat dan institusi pendidikan menerusi penglibatan pihak sekolah bersama pelajar, selain memupuk semangat kebersamaan dalam suasana Aidilfitri.-EDISI UKAS