Krisis Timur Tengah: Premier Sarawak Bakal Umumkan Bantuan Khamis Ini
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bakal mengumumkan bantuan Khamis ini susulan krisis timur tengah yang menyebabkan ketidaktentuan ekonomi di Sarawak.
Perkara ini diumumkan oleh beliau semasa berucap dalam dalam Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 BPHB di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Pengumuman bantuan dalam usaha membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat yang terkesan dengan perang yang berlaku di antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran yang menyebabkan peningkatan harga barangan di seluruh dunia.
"Kerajaan Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS), kekal komited melaksanakan dasar dan inisiatif bagi mengurangkan impak kenaikan kos, khususnya kepada kumpulan rentan.
"Insya-Allah, pada Khamis ini, saya akan mengumumkan apa yang ingin saya berikan kepada rakyat Sarawak kerana kos sara hidup ini," katanya.
Mengulas lanjut mengenai krisis global ini, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Sarawak telah mengambil pendekatan proaktif dan berorientasikan masa depan.
Ujarnya, Pelan Hala Tuju Gas Sarawak memastikan sumber negeri ini digunakan secara strategik untuk menjana makna ekonomi jangka panjang terutamanya sebagai pengeluar metanol demgan sumber gas ini diperluaskan melalui aktiviti hiliran.
Selain itu jelasnya, Kerajaan Sarawak juga mempercepatkan peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui dan tenaga bersih yang memberikan keselamatan tenaga melalui pelbagai sumber seperti penggunaan hidrogen, tenaga hidro dan tenaga hijau.
Tambahnya lagi, Kerajaan Sarawak juga memastikan manfaat sumber negeri ini diterjemahkan kepada sokongan nyata kepada rakyat.
"Ini termasuk bantuan bersasar, pembangunan infrastruktur dan program ekonomi yang bertujuan mengekalkan kemampuan sara hidup serta meningkatkan kualiti kehidupan," jelasnya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus