Jalan RM67.1 Juta Lubok Teranggas–Gedong Pacu Mobiliti Rakyat
GEDONG: Projek pembinaan jalan baharu Lubok Teranggas–Gedong bernilai RM67.1 juta kini berada pada tahap kemajuan memberangsangkan dan dijangka menjadi pemangkin utama peningkatan mobiliti serta pembangunan sosioekonomi luar bandar di kawasan ini.
Projek berimpak tinggi di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Samarahan (IRSDA) itu merangkumi pembinaan jalan premix standard R3 sepanjang 6.85 kilometer yang menghubungkan Kampung Gedong dengan Jalan Kampung Lubok Teranggas.
Selain itu, projek ini turut melibatkan pembinaan dua jambatan standard R5 masing-masing sepanjang 30 meter dan 180 meter, di samping kerja-kerja saliran, pemasangan kemudahan jalan serta rawatan asas tanah bagi memastikan ketahanan dan keselamatan infrastruktur dalam jangka panjang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi telah turun padang pada Selasa meninjau kemajuan projek bersama agensi pelaksana, sekali gus memastikan pelaksanaan berjalan lancar mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.
Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh agenda pembangunan inklusif, khususnya dalam merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Apabila siap sepenuhnya kelak, jalan ini dijangka meningkatkan tahap kebolehcapaian penduduk setempat kepada pusat ekonomi, pendidikan, kesihatan serta perkhidmatan awam dengan lebih cekap dan sistematik.
Setakat ini, projek dilaporkan berjalan lancar tanpa isu kritikal hasil penyelarasan bersepadu antara agensi pelaksana dan kontraktor, sekali gus menjamin kualiti pelaksanaan berada pada tahap optimum.
Lawatan ini turut menzahirkan pendekatan tadbir urus projek yang telus, cekap dan berintegriti oleh kerajaan negeri dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Tadbir Khas IRSDA Bahagian Samarahan, Anuar Da’an, Jurutera Bahagian JKR Samarahan, Ts. Mahathir Jokeni serta pegawai yang lain.-EDISI UKAS