BPHB Perlu Manfaatkan AI Tingkat Kecekapan Operasi
KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) perlu memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh sistem pengurusan pelabuhan masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan pesat teknologi AI termasuk kecerdasan buatan generatif dan evolusi terkininya akan mengubah landskap industri global, termasuk sektor logistik dan pelabuhan.
Menurutnya, sistem pengurusan data global dijangka berubah untuk lima tahun akan datang kepada rangkaian baharu dikenali sebagai AI grid, yang membolehkan aliran maklumat lebih pantas dan bersepadu tanpa bergantung sepenuhnya kepada pusat data.
"Justeru, kita perlu mengadaptasi teknologi ini, khususnya dalam urusan transaksi kargo.
"Apabila kapal berlabuh di pelabuhan, dokumentasi termasuk prosedur kastam dan lain-lain akan diselesaikan dengan segera di mana kapal hanya perlu berlabuh, memunggah kargo dan terus bergerak ke destinasi seterusnya.
"Inilah cara pelabuhan akan diuruskan pada masa hadapan maka kita memerlukan kepakaran dalam pengurusan pelabuhan," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 BPHB di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Tambahnya, mengadaptasi teknologi ini amat penting kepada Pelabuhan Bintulu disebabkan lokasi strategik antara Barat dan Timur, menghubungkan laluan dari Eropah, Terusan Suez, India dan seterusnya ke Asia Timur serta China.
Selain transformasi digital, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, BPHB juga dilihat berpotensi menyokong peralihan industri maritim ke arah penggunaan bahan api hijau seperti metanol dan ammonia.
Beliau berkata, kemampuan untuk menyediakan perkhidmatan 'bunkering' berasaskan bahan api alternatif ini akan meningkatkan daya saing pelabuhan di peringkat global.
"Saya difahamkan juga bahawa Sarawak Petchem akan membangunkan metanol hijau, dan kita bersedia ke arah itu," ujarnya.
Hadir sama, Anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Dato Ruslan Abdul Ghani serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus